14 February 2008

Pelarian Wanita indon bernama Bonda berakhir

HARIAN METRO
Rabu 21 November 2007

Pelarian Wanita indon bernama Bonda berakhir
Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah perumpamaan boleh dikaitkan dengan seorang wanita warga indon bergelar Bonda dipercayai menipu wang ratusan ribu ringgit melalui ilmu pukau, apabila dia ditahan pihak berkuasa selepas berminggu-minggu ‘menghilang’, pagi semalam.

Difahamkan, Bonda ‘dicekup’ pihak berkuasa di sebuah rumah di Taman Dato’ Senu, Sentul, di sini dipercayai di tempat dia menumpang untuk bersembunyi daripada polis.

Penghuni rumah itu dikatakan terkejut selepas membaca berita mengenai Bonda di Harian Metro, sebelum membuat laporan polis sejurus kemudian.

Sumber memberitahu, sebaik Bonda ditangkap pihak berkuasa berikutan maklumat diberi orang awam itu, wanita itu membawa polis ke tempat dia menginap sebelum ini iaitu bilik mewah di sebuah hotel lima bintang di ibu negara.

“Pelbagai barangan kemas, jam tiruan dan barangan lain ditemui selepas bilik itu diperiksa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sumber itu berkata, selepas dirujuk dengan Kedutaan Indon, suami Bonda yang dikatakan seorang jeneral tentera Indon itu sebenarnya hanya berpangkat kolonel.

“Mereka berdua juga dikatakan pengamal paranormal atau mempunyai ilmu hitam,” katanya.

Sumber itu memberitahu, sebelum ini, suami Bonda yang disyaki turut bersubahat dengannya untuk menipu sudah ditahan Khamis lalu untuk membantu siasatan sebaik mangsa membuat laporan di balai polis.

“Lelaki yang dipercayai suaminya itu kini dalam tahanan reman untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Asisten Komisioner Mohd Aris Ramli, mengesahkan pihaknya sudah menahan Bonda pagi semalam untuk membantu siasatan.

Laporan eksklusif Harian Metro semalam mendedahkan seorang mangsa yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Shah, mendakwa kehilangan hampir setengah juta ringgit selepas mengenali Bonda yang mendakwa kononnya mampu menyucikan dosa dan membuang sial dirinya dan keluarga dengan hanya membayar wang.

Selain membuatkan akidah sesat, Bonda yang berusia 50-an itu dikatakan giat menipu ahli perniagaan termasuk golongan kenamaan (VIP) dengan ilmu pukau supaya mangsa menyerahkan wang tanpa disedari.

No comments: