14 February 2008

iNDON! Bonda mengaku tipu RM208,272

BERITA HARIAN
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20071127000224/Article/index_html
Bonda mengaku tipu RM208,272
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia yang bergelar 'Bonda' mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua tuduhan menipu pengarah sebuah syarikat kononnya boleh mencuci dosa keluarganya sehingga mengakibatkan mangsa kerugian RM208,272, dua minggu lalu.

Tertuduh, Andi Putri Zahara, 55, yang juga seorang suri rumah didakwa menipu Mohamad Arshad Othman, 67, mampu mencuci dosa mangsa dan keluarga sehingga mendorongnya menyerahkan RM208,272.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok G8-0-6, Desa Pandan, Kampung Pandan, Cheras di sini, antara 12 Julai dan 7 November lalu.
Andi juga didakwa menipu dengan menyerahkan dua beg dan satu kotak kononnya berisi sejumlah besar wang tunai untuk dilaburkan dalam syarikat mangsa sedangkan di dalamnya hanya berisi dua keping RM100 dan dua keping S$50 (RM228.60).

Bagi tuduhan pertama, Andi didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan 10 Disember ini untuk jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk setiap tuduhan dengan dua penjamin tempatan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Ooi Khai Kheong memohon mahkamah mengenakan jaminan RM100,000 untuk kedua-dua tuduhan dan pasport ditahan selain melaporkan diri di balai polis terdekat setiap minggu.

Mengikut laporan akhbar baru-baru ini, 'Bonda' menipu mangsa dengan mendakwa dirinya sebagai orang perantaraan yang berkawan baik dengan wali Allah.

No comments: